1,093 calon di Terengganu peroleh semua A
KUALA TERENGGANU 19 Dis – Seramai 1,093 atau 5.27 peratus daripada 20,739 calon yang menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2016 di di negeri ini memperoleh semua A.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang berkata, jumlah calon cemerlang itu meningkat sebanyak 394 orang berbanding 699 atau 3.37 peratus pada tahun lalu.
Beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar, pengetua dan guru-guru seluruh negeri itu yang memberi komitmen sangat baik dalam usaha melonjakkan prestasi calon.
“Peningkatan pencapaian itu tentunya dengan komitmen berterusan warga pendidik yang mengajar dan membimbing mengikut format sistem kurikulum yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan.
“Selain itu, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada daerah Marang yang menunjukkan pencapaian terbaik di peringkat negeri,” katanya di sini hari ini.
Katanya, keputusan secara keseluruhan memperlihatkan calon PT3 juga sudah mula menguasai tahap pembelajaran dengan baik.
Bagaimanapun katanya, subjek Matematik dan Bahasa Inggeris Penulisan masih di tahap agak lemah dan memerlukan lebih tumpuan pada masa depan dengan beberapa pendekatan baharu agar pelajar dapat kejayaan lebih cemerlang apabila menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.
Untuk rekod, pelajar tingkatan tiga yang menduduki PT3 sejak 2014, ditaksir melalui empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan PT3.
PT3 merupakan pentaksiran sumatif yang setara di tingkatan tiga bagi menilai pencapaian akademik calon dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah.
Sumber: Utusan Online