31,734 pelajar ambil keputusan PT3 di Kelantan
KOTA BHARU 19 Dis. - Seramai 31,374 pelajar Tingkatan Tiga negeri ini yang terlibat dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) atau PT3 mula mengambil keputusan mereka di sekolah masing-masing pada pukul 10 pagi ini.
Pengarah Pendidikan negeri, Jaafar Ismail berkata, tahun ini merupakan tahun ketiga PT3 dilaksanakan di sekolah.
Beliau berkata, setiap pelajar akan menerima empat pelaporan yang disediakan pihak sekolah iaitu Pelaporan Pentaksiran Pusat; Pelaporan Pentaksiran Sekolah; Pelaporan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pelaporan Psikometrik.
"Empat pelaporan ini boleh menggambarkan perkembangan murid secara holistik."
"Pelaporan ini tidak perlu dibuat perbandingan antarag satu sekolah dengan sekolah yang lain kerana ia merupakan pentaksiran berasaskan sekolah."
“Pentaksiran dilakukan sepanjang tahun oleh guru sekolah berdasarkan garis panduan diberikan Kementerian Pendidikan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pentaksiran pusat telah dijalankan dari 10 hingga 13 Oktober lalu manakala pentaksiran pelbagai instrumen telah berlangsung dari 17 hingga 29 Julai untuk subjek Geografi dan dari 19 Jun hingga 1 Julai untuk Sejarah.
Tambahnya, bagi pentaksiran lisan untuk subjek Bahasa Melayu dan Inggeris telah berlangsung sepanjang bulan Ogos lalu.
Sumber: UTUSAN ONLINE