Mencari Aktiviti Bersesuaian Buat Anak Yang Baru Lepas Bersunat, 5 Aktiviti Mudah Ini Boleh Dilakuka
Apabila tiba penghujung tahun, di mana waktu cuti sekolah telah bermula, ibu bapa juga semakin sibuk untuk menguruskan segala kelengkapan sekolah bagi anak-anak. Bahkan bukan itu sahaja, terdapat juga perkara penting yang mereka akan lakukan, lebih-lebih lagi jika mempunyai anak yang berada di sekolah rendah. Antara perkara penting yang perlu dilakukan adalah, menghantar anak untuk berkhatan, atau bersunat. Ia kebiasaannya dilakukan sewaktu cuti persekolahan yang panjang, kerana mempunyai tempoh yang lama untuk anak-anak sembuh dari bersunat. Namun begitu, jika anak bersunat di awal cuti persekolahan, sudah semestinya ibu bapa berasa kasihan terhadap mereka, kerana tidak dapat melakukan aktiviti harian bersama sahabat mereka seperti biasa. Jadi, apakah aktiviti yang bersesuaian buat anak-anak ini? Menurut seorang guru, iaitu Cikgu Asmadi Samad, terdapat 5 aktiviti yang sesuai buat mereka, selepas mereka berkhatan. Jom kita lihat apa yang boleh dilakukan.
5 Aktiviti Untuk Anak Selepas Berkhatan
Kalau dulu-dulu umur 12 tahun darjah 6 baru sibuk nak sunat tapi sekarang dah tak perlu tunggu lama-lama, darjah satu pun ada yang dah sunat. Yang mencabar untuk ibubapa dalam bab sunat ni ialah penjagaan selepas bersunat. Dengan ubatan,penjagaan makanan dan juga karenah anak-anak selepas bersunat. Turut merisaukan ibubapa adalah aktiviti yang boleh dibuat oleh anak-anak dalam tempoh pemulihan dari bersunat ini. Kebiasaannya anak-anak akan menghabiskan masa dengan tablet, hp dan televisyen sahaja. Bukan tak boleh. Memang ada perkara-perkara yang menarik dan bagus-bagus yang boleh mereka dapat dari bahan-bahan diatas. Dan semestinya ia perlu disusun dan dirancang dengan baik oleh ibubapa. Lebih elok sekiranya kita dapat mempelbagaikan lagi aktiviti mereka serta mengurangkan kebergantungan mereka terhadap gajet. Di sini saya kongsikan beberapa aktiviti yang boleh dibuat secara bersendirian oleh mereka yang 'dalam pantang' ini.
1. Bermain permainan dalaman yang merangsang otak untuk berfikir
Seperti lego atau yang seumpama dengannya. Apa bezanya bermain permainan ini dengan bermain game di dlm tablet atau hp. Kawan, permainan secara live ini sebenarnya membantu mengukuhkan lagi koordinasi mata dan tangan, melatih kawalan saraf saraf halus serta menguatkan gambaran bahan maujud 3D anak-anak. Kebolehan menulis dengan kemas dan baik contohnya adalah salah satu kebolehan yang terhasil dari kemahiran-kemahiran diatas. Apatah lagi jika anak anda ingin aktif dalam bidang sukan maka kemahiran di atas amat perlu dilatih.
2. Menguatkan hafazan ayat-ayat dalam solat
Seperti doa qunut, doa iftitah dan juga ayat-ayat lazim yang ringkas dan pendek seperti surah -surah dalam juz amma. Tambahkan dengan imbuhan yang menarik untuk memotivasikan mereka seperti memberi hadiah jika mereka berjaya membaca ayat-ayat yang diberi dengan lancar dalam tempoh berpantang ini.
3. Membaca majalah atau buku-buku yang menarik
Membaca sebenarnya latihan bagi otak. Jutaan neuron berhubung secara aktif apabila seseorang itu membaca. Memang mencabar untuk ibubapa melatih anak membaca. Apatah lagi untuk memilih bahan bacaan yang bagus dan menarik untuk anak-anak. Saya syorkan anak anak diberi bahan bacaan yang mampu merangsang semangat ingin tahu mereka. Buku -buku seperti ensiklopedia bergambar dan kisah-kisah penyiasatan biasanya merupakan bahan bacaan yang terbaik untuk menimbulkan semangat ingin tahu sebegini. Cubalah!
4. Buku aktiviti
Berikan anak anda buku aktiviti yang mengandungi aktiviti yang menarik seperti puzzle, teka silang kata, word maze, dan pelbagai lagi aktiviti. Aktiviti-aktiviti ini sebenarnya menarik untuk mereka dan dapat meransang minda mereka untuk berlatih menyelesaikan masalah.
5. Melukis dan mewarna
Percaya atau tidak kanak-kanak sebenarnya sangat suka melukis dan mewarna. Aktiviti ini juga sebenarnya mampu menjadi terapi kepada kanak-kanak terutama bagi mereka yang sememangnya mempunyai kecenderungan serta berminat dengan aktiviti ini. Sediakan blok kertas lukisan dan juga warna pensil ataupun krayon untuk mereka dan lihat bagaimana mereka begitu khusyuk melukis impian dan imaginasi mereka di dalamnya. Sesekali ambil masa dan bertanya tentang lukisan mereka. Kadang -kadang ia juga mampu menjadi salah satu kaedah penerokaan emosi anak-anak. Jangan nilai cantik atau tidak kerana ia adalah terlalu subjektif. Hanya biarkan mereka melukis dan mewarna dengan bebas.
Ucapan syabas buat anak-anak yang berani dan berjaya menempuh ujian fizikal paling mencabar dalam fasa menjadi dewasa ini. Syabas juga buat ibubapa yang berjaya mendorong anak mereka untuk melalui fasa ini dengan jayanya. Saya yakin ini adalah antara 'moment' yang takkan dapat kita lupakan sebagai ibubapa apatah lagi sekiranya ia melibatkan anak lelaki pertama dalam keluarga kita. Secara tidak langsung mengimbau kembali nostalgia silam kita para ayah, sewaktu kita berhadapan dengan tok mudim dahulu. Betapa waktu itu hanya tangan sasa sang ayah mengusap belakang dan dada kita memujuk agar kita kuat semangat, cekal dan berani.
Semoga perkongsian saya di atas dapat membantu rakan-rakan dalam menghasilkan waktu-waktu yang berkualiti untuk anak-anak kita.
Sumber: Siakap Keli