top of page

8 Amalan Hari Jumaat Yang Besar Ganjarannya

HARI JUMAAT LAGI HEBAT DARI HARI RAYA. Rasulullah s.a.w bersabda, Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah. Iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam a.s, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jumaat juga akan terjadinya hari Kiamat. (HR. Ibnu Majah)

TAK BUAT RUGI! Berikut adalah 8 amalan paling utama dan hebat keuntungannya bagi mereka yang mengamalkannya. Bergembira dan berbahagialah bagi mereka yang bersungguh-sungguh meraih keuntungan padanya dan amatlah ruginya mereka yang mengabaikannya!

Amalan hari jumaat

8 Amalan Hebat Hari Jumaat

1. Memotong Kuku.

Sebelum menunaikan fardu Jumaat, kita disunatkan mandi walaupun waktu solat telah hampir. Disunatkan juga mencukur kepala, memotong kuku, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yang sebaik-baiknya. Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

2. Membaca Surah Ali-Imran.

Sabda Nabi s.a.w. yangb bermaksud: “Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendo’akan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.”

3. Membaca Surah Al-Kahfi.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri yang bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”

4. Mengucapkan Selawat Ke atas Nabi s.a.w.

Berselawat sekali ke atas Nabi, Allah Taala memberi rahmat 10 kali ganda. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksid: “Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali)”.(HR.Al-Baihaqi).

Allah Taala juga ada berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah Taala dan para malaikat telah berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna ke atasnya (Nabi)”. (QS.Al-Ahzab:56)

5. Membaca Yassin.

Sesiapa membaca surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah.

6. Mandi Sunat Jumaat.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.” Dan sebuah hadith daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu. (Muttafaq alaih).

Manakala sebuah lagi hadith yang menerangkan tentang mandi sunat hari Jumaat adalah sebuah hadith daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama. (HR.Imam Abu Daud dan Tarmidzi).

7. Berdoa Bersungguh-sungguh.

Majoriti ulama’ berpendapat bahawa makbulnya do’a yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua. Ibnu Qayyim Al-Jauzi mengatakan: Di antara sekian banyak pendapat ada dua yang paling kuat, sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis yang sahih, pertama saat duduknya khatib sampai selesainya solat. Kedua, sesudah Asar. Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdo’a) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan do’anya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan. (HR.At-Tirmidzi).

Sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sedang membicarakan tentang hari Jumaat, dan baginda bersabda: Padanya (hari Jumaat) terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba (Allah) yang muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikannya kepadanya. Dia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan”. (HR.Al-Bukhari dan Muslim)

8. Banyakkan Bersedekah.

Sedekah pada hari itu lebih utama dibanding sedekah pada hari-hari lainnya. Ibnu Qayyim berkata: Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama di sedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya. Hadis dari Kaâab menjelaskan: Dan Sedekah pada hari itu lebih mulia dibanding hari-hari selainnya.

Moga hari Jumaat kali ini lebih banyak manafaat dan keberuntungan yang kita dapat berbanding hari-hari Jumaat yang sebelum ini. Mereka yang lebih baik dan lebih banyak amalannya sekarang berbanding hari-hari sebelumnya pasti diberikan Allah s.w.t. hidup yang tenang, kaya dan bahagia.

Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page